Friday 23 September 2011

24 sept:Malam Puisi Riong ajak hargai alam sekitar

Posted by convocation utm 47 On 21:36 0 comments

Malam Puisi Riong ajak hargai alam sekitar
Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2011/09/15

pix_gal0
MALAM Puisi Riong Berita Harian - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang akan berlangsung pada 24 September ini di Tapak Konvokesyen UTM, Skudai, membawa tema Lestari Alam sesuai dengan kempen kampus mesra alam yang dilaksanakan universiti itu sejak tahun lalu.

Timbalan Pendaftaran Kanan UTM, Ismaal Samat berkata, UTM sejak tahun lalu sudah memulakan pelbagai kempen dan peraturan bagi mencapai hasrat menjadikan kampus UTM sebagai kampus yang mesra alam.
“Kempen kampus mesra alam ini merangkumi mendidik pelajar dan kakitangan UTM untuk menjimatkan penggunaan bekalan air, menjimatkan penggunaan elektrik, mengurangkan jumlah sampah, dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Skudai, baru-baru ini.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, UTM sudah pun menguatkuasakan undang-undang tidak membenarkan penggunaan bekas makanan polistirena di seluruh kampus, sebaliknya menggalakkan menggunakan bekas makanan boleh dikitar semula.

“UTM sudah pun mengeluarkan pekeliling tidak membenarkan penggunaan bekas makanan polistirena terutama kepada peniaga makanan yang beroperasi di dalam kampus kami bagi memastikan kempen kampus mesra alam terus disokong.

“Selain sukar untuk dilupuskan, penggunaan bekas makanan polistirena membahayakan kesihatan pengguna kerana menurut kajian ia boleh menjadi punca barah. Bekas makanan boleh dikitar semula mudah dilupuskan dan boleh bertindak sebagai baja apabila ia dibuang,” katanya.

Ismaal turut berharap penganjuran Malam Puisi Riong BH-UTM dengan tema Lestari Alam akan dapat membantu meningkatkan kesedaran pelajar dan kakitangan UTM kepada genre puisi, sekali gus membantu menjadikan kempen alam sekitar di kampus itu lebih berkesan.
“Deklamasi puisi dengan tema ini diharap dapat memberi kesan mendalam terhadap khalayak yang hadir agar mereka lebih menghargai persekitaran yang diduduki. Pada masa sama, program ini juga dapat menggalakkan kegiatan kesenian terus bernafas di kampus UTM,” katanya.

Malam Puisi Riong BH-UTM akan menampilkan pemuisi seperti Sasterawan Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala; penggubah, pencipta dan penyanyi lagu puisi, Ahmad Ramli; ahli Kumpulan Kopratasa, Sani Sudin dan penyair muda kelahiran Johor, Amni Jagat;

Tidak ketinggalan, majlis akan turut dimeriahkan Johan Deklamasi Puisi, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) Peringkat Kebangsaan 2002, 2006, 2008 dan 2010, Sarjan Yusof Ramji; peserta Akademi Fantasia Musim Ketiga, Mohd Shukri Mohd Tajudin atau lebih dikenali sebagai Cicik serta Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2007, Dr Rahman Shaari.

Selain itu, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid turut dijadualkan memeriahkan malam terbabit dengan mendeklamasikan puisi.

0 comments:

Post a Comment